-

Thursday, March 7, 2013

Cerpen: Lagu (Part II)

Part I

Part II

Lagi dua minggu Hairi kena siapkan CD demo 4 lagu tu. Tapi setakat ni semuanya serba tidak kena. Tidak ada apa-apa perkembangan baru sejak berjumpa dengan Brader Furu 3 hari lepas. Hairi masih tercari-cari rangkap pertama lirik dan kod muzik yang sesuai. Tiada ilham. Hairi semakin tensyen. Hairi mengambil keputusan untuk keluar sebentar dari rumahnya. Dia mahu ambil angin. Relax sebentar melihat dunia luar. Mana tahu masa bersiar-siar tu Hairi boleh dapat ilham menulis.

Semasa Hairi berjalan-jalan di sekitar kawasan kedai berdekatan rumahnya, dia ternampak beberapa ekor kucing sedang bermesyuarat menghadap satu sama lain di hadapan sebuah kedai alat tulis. Kesemuanya kucing liar kecuali ada satu ekor kucing ni yang tak nampak macam kucing liar. Cantik dan bersih sangat bulunya. Macam kucing belaan yang terlepas dari rumah tuannya. Hairi merasakan kucing itu akhirnya berasa puas kerana berjaya mendapat kebebasan daripada asyik terkurung di dalam rumah tuannya. Sekali-sekala kucing belaan pun perlu merasai nikmat dunia luar. Bosanlah kalau asyik duduk rumah. Hairi tersenyum kecil sebab itulah yang sedang dilakukannya; keluar sejenak dari rumah untuk mencari ketenangan di luar. Hairi berlalu pergi meninggalkan kumpulan mesyuarat kucing itu.

Setelah setengah jam berjalan-jalan tanpa hala tuju tanpa mendapat sebarang ilham menulis lagu, Hairi singgah sebentar di sebuah kedai runcit untuk membeli air A&W root beer. Air gas fevretnya. Hairi berasa sangat dahaga. Dia manusia biasa yang perlukan air untuk terus hidup dan berjalan. Mana tahu kalau lepas minum air rutbir tu terus dapat ilham, fikirnya lagi dengan separuh optimis. Lepas ambik sebotol air rutbir dari peti sejuk kedai, dia menuju ke kaunter untuk membayar. Yang menjaga kaunter itu ialah seorang perempuan muda yang ayu. Hairi terus terpersona. Kedua belah matanya menatap perempuan itu tanpa kelip. ‘Belum minum rutbir lagi, dah dapat ilham.’

Perempuan itu tak pernah dilihat Hairi sebelum ini walaupun dah berkali-kali datang ke kedai runcit Pak Brahim tu. Hairi teka perempuan itu mungkin anak Pak Brahim yang baru balik belajar dari mana-mana dan ambil keputusan untuk tolong jaga kedai dia. Hairi membuat bayaran sambil buat muka macho. Perempuan itu pun sama, control ayu dan hanya buat muka cashier tipikal yang tak ada emosi. Hairi keluar dari kedai tanpa menjenguk ke belakang kerana masih dalam mode control macho dan terus menuju pulang ke rumahnya. Dia sudah dapat ilham untuk tulis lagu. Lagu pasal anak perempuan Pak Brahim. Air A&W root beer yang baru dibeli langsung tak diminumnya.

Setibanya di rumah, Hairi ambil gitar kapoknya bersama-sama dengan buku nota dan sebatang pen. Ini lagu pertama yang bertajuk…

Ah!

‘Apa nama perempuan tu tadi?’
‘Betul ke dia anak Pak Brahim?’
‘Entah-entah dia bini baru Pak Brahim.’
‘Betul ke dia tu perempuan tulen?’

Aarghh!

Belum sempat Hairi menulis apa-apa, ilham dan semangat menulisnya beransur hilang ditelan persoalan-persoalan negatif mengenai gadis misteri di kedai Pak Brahim tadi. Hairi ada menyalahkan dirinya sedikit sebab berlagak macho dan langsung tak bertegur sapa dengan perempuan tu. At least, tanyalah siapa dia di kedai Pak Brahim tu. Bongok.

Dengan perasaan yang bengang dan desperate, dia akhirnya buka tudung botol air rutbir yang dibelinya tadi lalu meneguk air itu beberapa kali dengan harapan mojo menulis kembali datang. Tiada apa-apa yang menarik berlaku.  Hairi terus campak pen dan meletakkan gitar kapoknya di lantai bilik sebelum menghempaskan badannya ke atas katil. Hairi pejam mata dan tertidur tak lama selepas itu. Satu lagi hari yang tidak membuahkan hasil.

***

...bersambung lain masa.

(8/3/2013)

Tq=)

No comments: