-

Sunday, October 21, 2012

Cerita Pendek: Gergasi



GERGASI

Raman ada satu teori. Raman percaya yang realiti adalah sekadar mimpi, manakala segala apa yang dia mimpi semasa tidur adalah realiti sebenar.

Pada suatu hari, dalam ‘dunia mimpi’ Raman, dia bersiar-siar di KL. Tiba-tiba, sebuah van berhenti berdekatannya. Seorang lelaki bermuka garang memaksa Raman untuk masuk ke dalam van tersebut. Raman yang percaya dia sedang bermimpi menurut paksaan lelaki itu.

Di dalam van, seorang lelaki lain bernama Jon mencekik leher Raman dan bertanya tentang perihal wang rompakannya yang hilang, dipercayai dirompak geng Raman. Raman yang tidak tahu apa-apa, merasakan ini adalah mimpi thriller terbaik yang pernah dialaminya. Raman buat cerita dengan berkata yang wang itu kini disorok di sebuah rumah kosong. Raman memberitahu alamat rumah sebelum mereka bergerak ke situ.

Setibanya mereka di depan rumah tersebut, Raman diminta pergi mengambil wang sambil dikawal Shank, orang kanan Jon. Raman dalam hati masih teruja tentang mimpi ini. Sebenarnya dia sudah lama mahu bermimpi yang dia akan ditangkap oleh orang jahat. Raman dari dulu lagi sudah merancang penamatan menarik untuk mimpi sedemikian sekiranya terjadi. Hari ini hari ‘bertuah’ Raman.

Shank mengekori rapat-rapat dari belakang. Muncung pistolnya ditekap di pinggang Raman. Raman menuju ke sebuah bilik kosong tak bertingkap. Dalam gelap, Raman menyerang Shank dan pergelutan berlaku.

Raman berjaya merampas pistol Shank dan menembaknya sebelum menembak ahli geng Jon yang lain. Polis kemudian datang menangkap mereka. Akhirnya, Raman berjaya merealisasikan impiannya untuk menjadi hero walaupun dalam mimpi. Selepas tamat menyampaikan ucapan keperwiraannya di headquarters Polis, Ketua Polis Negara menyerahkan satu replika kunci gergasi kepada Raman. Atas jasanya membantu Polis memberkas geng Jon, Raman dihadiahkan sebuah kereta Mitsubishi polis!

***

Dalam dunia realiti kita semua…

BANG! Kedengaran satu bunyi tembakan.

Kuncu-kuncu Jon di luar terus berlari ke arah rumah itu. Mereka menemui tubuh Raman yang tertiarap di atas lantai. Kepalanya berlumuran darah. Shank sihat walafiat.


(22/10/2012)

No comments: